KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Fenomena air pasang besar beserta ombak besar di daerah Dungun yang berlaku sejak awal minggu lalu mengakibatkan kawasan pantai Paka di sini, rosak dan terhakis teruk.
Lebih 20 keluarga di Kampung Cacar Lama yang tinggal berhampiran pantai tersebut menyuarakan kebimbangan keselamatan mereka sekeluarga.
Menurut mereka, hakisan menjadi bertambah teruk jika dibandingkan hakisan pada sebelum ini hanya dua kilometer sahaja.
Zainalwati Samad, 58, akui bimbang terhadap keselamatan keluarganya selagi musim tengkujuh belum berakhir.
"Apa yang paling saya bimbang ketika ombak membadai waktu malam, kalau ombak kuat sedikit lagi, mungkin rumah saya bakal menyembah bumi," katanya.
Menurut pemilik inap desa Hasri Hashim, keadaan itu turut menyebabkan lima unit rumah inap desa yang baru siap dibinanya pada tahun lalu hanya menunggu masa untuk runtuh.
Malah penduduk yang tinggal berhampiran pantai tersebut bimbang kemungkinan rumah mereka turut terjejas atau roboh susualan hakisan yang semakin menghampiri rumah kediaman mereka.
Justeru, mereka berharap pihak berwajib melakukan kerja baik pulih tebing pantai yang runtuh dengan kadar segera bagi mengelak hakisan semakin terus berlaku.
Fenomena air pasang besar dijangka berakhir pada Sabtu ini dengan paras air setinggi 3.7 meter.