fb fb fb fb fb

Samun: Polis tahan lima lelaki bantu siasatan

 

KUALA LUMPUR, 6 Januari - Polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan kes samun di Shell Mastiara, Jalan Kampung Batu, pada 19 Disember lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kesemua individu berusia antara 28 hingga 42 tahun itu ditahan hasil serbuan di beberapa lokasi pada 21 Disember dan 28 Disember lepas.

“Kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan telah direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bermula 20 Dis sehingga 28 Dis lepas sebelum diserahkan ke IPD Sungai Buloh untuk siasatan lanjut.

Antara barang yang dirampas dalam serbuan itu ialah dua bilah parang, tujuh buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebatang sepana dan kunci Allen yang disyaki digunakan untuk mencuri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beh berkata siasatan awal mendapati modus operandi kegiatan samun itu, adalah secara berkumpulan menggunakan senjata dan menyasarkan mangsa yang menaiki kereta mewah serta memakai barangan kemas semasa mengisi bahan api di stesen minyak.

“Polis mendapati suspek yang terlibat dipercayai seramai empat ke lima orang menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hijau gelap dengan nombor pendaftaran PDX 9929.

Suspek bertindak menarik rantai leher emas mangsa sambil mengacukan sebilah parang kepada mangsa yang sedang mengisi minyak namun cubaan itu gagal apabila mangsa melarikan diri. Walaubagaimanapun, suspek melarikan dompet milik mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, operasi yang dijalankan itu telah berjaya menyelesaikan tiga kes samun yang dilaporkan di sekitar Kuala Lumpur dan dua kes di Selangor.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata,” katanya. - BERNAMA

Media Baharu