JERANTUT, 5 Januari- Tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) nyaris maut apabila bot dinaiki dipukul ombak dan arus deras sehingga menenggelamkan bot di Sungai Tembeling, dekat Kuala Tahan, 11 pagi tadi.
Bot yang dinaiki anggota APM itu dalam perjalanan ke perkampungan Orang Asli di Kampung Aur dekat Kuala Tahan bagi misi menghantar bantuan bekalan makanan kepada penduduk di situ.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendent Mazlan Hassan berkata, ketika bot tersebut tiba di Jeram Panjang bot dipukul ombak dan arus deras.
"Sejurus kejadian berlaku, ketiga-tiga sukarelawan APM tersebut berjaya menyelamatkan diri ke tempat yang lebih selamat dan bot dinaiki pecah,"
"Sementara itu, barang-barang bantuan musnah dibawa arus sungai yang deras," jelasnya dalam satu kenyatan hari ini.
"Anggota polis dari Pondok Polis Kuala Tahan bersama Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan, dibantu seramai 10 orang penduduk kampung menggunakan 4 buah bot telah bergerak ke lokasi kejadian."
Ketiga-tiga anggota APM itu pulang ke rumah masing-masing selepas mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kuala Tahan.