fb fb fb fb fb

9,345 penduduk terjejas banjir di enam negeri

KUALA LUMPUR, 5 Januari - Seramai 9,345 penduduk di enam negeri terjejas banjir masih berada di 125 Pusat Pemindahan Sementara, PPS setakat pukul 9 malam tadi.

Enam negeri terlibat ialah Johor, Sabah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM mereka yang terjejas itu daripada 2,953 buah keluarga.

Johor masih merekodkan jumlah penduduk paling ramai dipindahkan iaitu 4,521 daripada 1,212 keluarga.

Kesemua mereka berlindung di 66 PPS.

Sementara itu, di Sabah menyaksikan masih terdapat 2,752 penduduk daripada 1,135 keluarga ditempatkan di 24 PPS yang beroperasi.

Daerah terjejas ialah Kota Marudu, Beluran dan Telupid.

Di Pahang, 21 PPS masih dibuka dengan menempatkan 996 penduduk daripada 326 keluarga.

Di Negeri Sembilan pula, terdapat dua daerah terjejas banjir iaitu di Tampin dan Jempol.

Seramai 589 penduduk berlindung di enam PPS.

Di Melaka seramai 447 penduduk ditempatkan di enam PPS dan Selangor 40 orang di dua PPS.

Media Baharu