KUALA LUMPUR, 9 Februari- Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan dirinya positif COVID-19, selepas melakukan ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).
“Alhamdulillah, saya hanya mengalami gejala ringan dan dalam keadaan baik,” katanya menerusi catatan di Facebook yang dikongsi hari ini.
Menurut bekas perdana menteri itu, beliau akan menjalani kuarantin kendiri di rumah, selaras protokol Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Muhyiddin turut meminta mereka yang berkemungkinan menjadi kontak rapatnya, untuk mematuhi SOP ditetapkan KKM.
Pada akhir catatan, Muhyiddin juga memohon orang ramai untuk mendoakan kesihatannya dan keluarga.