KOTA BHARU, 22 Februari – Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Kelantan sedia menjadi jambatan penghubung antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Kelantan dalam usaha memajukan negeri demi kepentingan rakyat.
Yang Dipertua MUBARAK Kelantan, Datuk Rozali Isohak, berkata pihaknya tidak mahu Kelantan terus ketinggalan berbanding negeri-negeri lain dalam semua aspek pembangunan.
Justeru, pihaknya bersedia memberikan nasihat dan pandangan jika diperlukan bagi membantu usaha tersebut.
"Kita mengutamakan perpaduan antara semua pihak yang berkepentingan bagi memastikan kemajuan dapat dicapai.
"Kita tidak mahu Kelantan terus menjadi negeri yang terkebelakang dan ketinggalan," katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian penutup Mesyuarat Agung Tahunan MUBARAK Kelantan kali ke-13, di sini.
Mengulas lanjut, Datuk Rozali yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, MUBARAK Kelantan berasa sedikit terkilan dengan situasi semasa negeri itu, sama ada dalam aspek ekonomi mahupun sosial.
Sementara itu, majlis turut menyaksikan penganugerahan Tokoh Wira MUBARAK Kelantan Sepanjang Zaman kepada tokoh veteran politik negeri, Datuk Nozula Mat Diah.
Anugerah yang julung kali diperkenalkan itu diberikan kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh sebagai penghargaan atas sumbangan besarnya kepada negeri, termasuk peranannya sebagai wakil rakyat dan bekas Ketua Pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).