KUALA LUMPUR, 22 Februari – Pihak masjid disaran untuk meningkatkan kawalan keselamatan susulan insiden cabul melibatkan seorang kanak-kanak ketika solat Subuh berjemaah di sebuah masjid di Batang Kali, Selangor baru-baru ini.
Pengerusi Masjid al-Taqwa Taman Tun Dr. Ismail, Datuk Fadzli Yusof berkata antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk mengaktifkan pergerakan pengawal keselamatan secara lebih menyeluruh.
"Masjid adalah tempat suci, jadi perbuatan tidak sopan seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Di masjid kami, terdapat dua pengawal keselamatan bertugas setiap masa dengan sistem ‘clocking’ yang memastikan mereka bergerak dari satu bahagian ke bahagian lain, termasuk di luar kawasan masjid," katanya ketika ditemui di Karnival Jualan Makan Segar (JAMAS) di Taman Tun Dr Ismail, di sini.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakan di dalam dan luar kawasan masjid.
"Kita ada 32 kamera CCTV yang boleh membantu mengesan sebarang insiden, termasuk cubaan mencuri. Dengan adanya sistem pemantauan ini, kita boleh mengenal pasti pelaku dengan lebih cepat," tambahnya.
Dalam pada itu, Fadzli turut menegaskan kepentingan pendidikan agama sejak kecil bagi memastikan ajaran Islam difahami secara mendalam serta dapat membentuk masyarakat yang lebih berakhlak.