fb fb fb fb fb

MTL Red Team JBPM, siap digerakkan bila-bila masa

Ketua Cawangan Pusat Operasi, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Mohamad Shoki Hamzah

KUALA LUMPUR, 22 November- Pasukan Gerak Cepat Monsun Timur Laut (MTL Red Team) yang ditubuhkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah bersiap sedia di setiap negeri bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir.

Ketua Cawangan Pusat Operasi, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Mohamad Shoki Hamzah berkata pasukan itu dilengkapi pelbagai aset termasuklah aset khas yang membolehkan gerak kerja pantas dilaksana membantu balai berhampiran di lokasi bencana.

"Pasukan MTL Red Team ada tiga pasukan dimana mereka bertukar mengikut syif, dalam musim MTL satu syif ialah 24 jam. Dalam tempoh masa lima hari, untuk setiap pasukan berada di lokasi yang berisiko itu.

Jadi, daripada segi asetnya kita ada lori tiga tan, lori lima tan juga kita ada bot-bot penyelamat, peralatan perubatan dan banyak lagi. Ia akan dibantu oleh seorang pegawai kanan selaku komander dan dibantu oleh empat orang petugas yang mempunyai kemahiran," kata Mohamad Shoki kepada pemberita selepas menjadi tetamu di program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai terutamanya warga emas, ibu mengandung, kanak-kanak dan individu yang kurang sihat agar segera berpindah sekiranya terdapat tanda-tanda bakal berlaku banjir di kawasan kediaman mereka.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM