fb fb fb fb fb

Kerajaan negeri Johor diamanah bimbing TMJ - Sultan Ibrahim

Foto FB TMJ

KUALA LUMPUR, 22 November- Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengamanahkan kerajaan negeri Johor untuk memberi tunjuk ajar kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam menjaga negeri dan rakyat, sepanjang tempoh baginda menyandang jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Johor, pendekatan tersebut seiring dengan cara Sultan Ibrahim dibimbing sebagai Pemangku Sultan Johor, ketika Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1984.

Pemangku Sultan Johor akan memikul tanggungjawab menjaga negeri dan rakyat serta menjalankan segala hak dan kuasa pemerintahan negeri kecuali sebagai ketua agama islam.

“Sama macam mana saya dibimbing sebagai Pemangku Sultan ketika Almarhum ayahanda saya menjadi Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1984. Pemangku Sultan akan memikul tanggungjawab untuk menjaga negeri dan rakyat Johor serta menjalankan segala hak dan kuasa pemerintahan negeri kecuali sebagai ketua agama Islam.

Walaupun saya bersemayam di Istana Negara, ini bukan bermakna saya berhijrah terus ke Kuala Lumpur. Saya akan selalu balik ke Johor kerana ini kampung saya. Harap orang Johor janganlah lupakan saya dan janganlah buat tak kenal saya selepas ini,” titah DYMM Sultan Johor.

Selain itu, pegawai kerajaan dinasihat untuk tidak melibatkan urusan politik dalam pentadbiran kerajaan kerana setiap keputusan perlu dibuat bersandarkan kepada kepentingan rakyat dan kerajaan.

Pegawai kerajaan perlu menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan amanah.

Tegas baginda, Sultan Ibrahim akan kerap memantau perkembangan semasa negeri Johor, ketika bersemayam di Istana Negara.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM