fb fb fb fb fb

MTL: Johor gesa para petani hentikan sementara aktiviti pertanian

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip

KLUANG, 5 Disember - Kerajaan Negeri Johor menyarankan para petani agar menghentikan sementara aktiviti penanaman sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) bagi mengelakkan kerugian sekiranya banjir melanda kawasan pertanian mereka.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri , Datuk Zahari Sarip berkata para petani turut disaran berpindah kawasan yang tinggi bagi menjalankan aktiviti pertanian atau melaksanakan pertanian secara fertigasi sepanjang tempoh berkenaan.

"Kita galakkan yang sememangnya kawasan banjir cuba mencari kawasan sesuai seperti mendapatkan kawasan yang lebih tinggi yang tidak terlibat dengan banjir.

"Namun,paling penting ia mendapat sokongan daripada Jabatan Pertanian Johor", kata Zahari yang ditemui selepas merasmikan Majlis Penyampaian Mekanisasi Ladang dan Bantuan Bencana Banjir 2023 di Pusat Pertanian Ayer Hitam di sini.

Pada program berkenaan sebanyak 16 buah mini traktor bernilai RM397,600 ringgit diserahkan kepada 15 usahawan dan satu kelompok melibatkan kawasan seluas 151 ekar manakala kira-kira RM2.19 juta disalurkan kepada 699 petani, penternak serta pengusaha akuakultur yang terjejas akibat banjir bulan Februari sehingga Mac 2023 lalu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD