fb fb fb fb fb

21 tarekat masih beroperasi di Negeri Sembilan

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Profesor. Madya Dr. Faudzinaim Badaruddin / FOTO RTM

SEREMBAN, 5 Disember - Sebanyak 21 Tarekat masih beroperasi di Negeri Sembilan dan berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005.

Menurut Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Profesor. Madya Dr. Faudzinaim Badaruddin, setiap tarekat yang berdaftar di negeri itu perlu menghantar laporan pada setiap tahun sebagai pemakluman berkenaan aktiviti yang dilakukan dan juga keahlian yang mereka miliki sebagai langkah pemantauan.

"Di Negeri Sembilan, kita mewajibkan tarekat mesti berdaftar. Ini adalah sebagai satu langkah kawalan supaya tidak berlaku isu penyelewengan dan sebagainya.

"Setakat ini terdapat 21 tarekat yang telah berdaftar dan cuma satu telah dikeluarkan daripada senarai", katanya demikian pada Majlis Perasmian Simposium Penyelidikan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) 2023 di sini.

Simposium yang julung kali dianjurkan itu merupakan kerjasama pihak MAINS serta Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi mengumpulkan penyelidik dan cendekiawan dalam berkongsi idea-idea baharu dan hasil kajian.

Bertemakan “Penyelidikan Memacu Transformasi Kecemerlangan Perkhidmatan MAINS”, simposium berkenaan merupakan usaha MAINS bagi mentransformasikan perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat merangkumi pengurusan zakat, pengurusan wakaf, pengurusan harta umat Islam dan perkhidmatan kaunseling bagi mengangkat profesionalisme tadbir urus hal ehwal agama Islam di Negeri Sembilan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD