KOTA BHARU, 10 Oktober- Semua agensi kerajaan disaran melakukan perancangan teliti dan bersiap siaga, bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Pantai Timur.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata MTL akan menyebabkan bencana banjir di kawasan berkenaan khususnya Kelantan.
"Kalau berlakunya banjir, bagaimana pusat pemindahan, apakah bantuan yang perlu di sediakan termasuklah kemudahan pengangkutan untuk mengangkat orang memindahkan orang daripada tempat banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS), makanan mereka dan semua logistik itu perlu di siap siagakan dan ini memerlukan kerjasama ataupun sinergi yang melibatkan keseluruhan agensi kerajaan", katanya.
Beliau ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan Negeri Kelantan, di Kota Bharu.
(Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof)
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaar (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) (PPNK ICU JPM) Jasri Kasim.
Terdahulu dalam ucapannya, Datuk Seri Fadillah turut memberi penekanan kepada perancangan persediaan dalam menghadapi musim bencana yang akan datang.
Menurutnya, keselamatan serta kebajikan penduduk terjejas perlu dititik beratkan, selain kesiapsiagaan semua agensi, khususnya dalam melicinkan penyaluran bantuan serta menguruskan sumber dan logistik.
Dalam isu berasingan, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan persekutuan memberi perhatian penuh kepada empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah dalam usaha merapatkan jurang pembangunan di negeri berkenaan.
Beliau berkata ini kerana kesemua negeri terlibat adalah negeri yang agak kebelakang berbanding negeri lain di semenanjung.
"Kita perlu mencari kaedah bagaimana kita hendak percepatkan segala projek, tidak guna kita telah luluskan lebih RM2 billion tetapi pelaksanaannya nanti tidak dilaksanakan dengan berkesan, maka projek itu tidak dapat disiapkan dan sebagainya.
"Di sini, saya kira perlu adanya penyelarasan, maknanya semua orang perlu memikirkan kaedah bagaimana hendak melaksanakan projek dan program yang memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat.
Mengulas lanjut Datuk Seri Fadillah berkata, berdasarkan rekod, Kelantan menerima peruntukan pembangunan tertinggi dalam kalangan empat buah negeri berkenaan, tahun ini.
Setakat ini, RM2.57 bilion telah diluluskan bagi pelaksanaan 447 projek serta program pembangunan di negeri itu.