(Foto BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keyakinan kerajaan akan melakukan perubahan mendadak bagi memastikan setiap projek pelaburan dari luar negara dapat diluluskan segera.
Jelas Anwar, langkah itu perlu dilaksana memandangkan terdapat kebimbangan yang disuarakan berkaitan projek berkenaan.
"Yang berhormat harus faham bahawa untuk pelaksanaan itu, kadangkala ada disuarakan kebimbangan. Apabila diluluskan, yang disebutkan ‘ease of business’ itu kadangkala masih ada masalah. Oleh itu, saya telah menetapkan supaya kita melakukan perubahan yang agak mendadak. Bukan sahaja ‘one stop centre’ di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tetapi juga Jawatankuasa Pelaburan dan Perdagangan di bawah menteri MITI, dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri. Ini akan memastikan projek itu diluluskan dengan kadar segera," kata Anwar ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing di Dewan Rakyat, di sini.
Sehingga hari ini sebanyak 17 lawatan ke luar negara telah diadakan Anwar ke negara seperti, China, Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara ASEAN.
Dalam pada itu, Anwar menyerahkan sumbangan bantuan kepada Tabung 'My Aqsa Defender' di lobi Parlimen hari ini.
Sumbangan diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri.
Ini merupakan sebahagian usaha Malaysia membantu Rakyat Palestin yang ketika ini sedang berdepan konflik peperangan.
(Foto BERNAMA)