fb fb fb fb fb

Kilang disyaki sorok 180 tan metrik beras tempatan disita

(FOTO KPKM)

KUALA LUMPUR, 10 Oktober –Sebuah kilang disyaki menyorok beras putih tempatan dalam gudang simpanan yang tidak dinyatakan dalam lesen, disita pasukan Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT).

Menerusi status Facebok Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan sitaan dilakukan, hasil pemeriksaan lanjut oleh pasukan Task Force Khas OP BPT yang telah mendapati bahawa beras bergred Super Spesial Tempatan 5% (SST5) atau beras putih tempatan (BPT) di dalam kampit jumbo berjumlah 180 tan metrik disorok di gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen.

“Mengesyaki kilang tersebut telah melakukan kesalahan menyimpan stok beras tanpa lesen, pasukan Task Force Khas bertindak menyita BPT yang berada di dalam gudang tersebut dengan hasil sitaan dianggarkan bernilai RM405,000,” menurut status tersebut.

Operasi itu diketuai oleh Timbalan Menteri KPKM Chan Foong Hin, bersama Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS).

Susulan itu Foong Hin memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya mematuhi undang-undang ditetapkan. Tegasnya KPKM dan anggota-anggota Task Force akan bertindak tegas terhadap sesiapa (individu atau syarikat) yang didapati melanggar peraturan sedia ada.

“Jangan mengambil kesempatan kerana ini masanya kita berganding bahu untuk menjamin kecukupan bekalan makanan yang berpatutan untuk rakyat, bukannya menekan pengguna atau pesawah demi mengaut keuntungan yang lebih," kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Kes tersebut akan disiasat bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996 P.U (A) 626.

Sekiranya didapati bersalah, kilang padi tersebut boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 bagi kesalahan pertama dan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras melalui notis secara bertulis boleh membatalkan atau menggantung lesen.


(FOTO KPKM)

Media Baharu