KUANTAN, 23 Mei - Majlis Tilawah dan Hafazan al- Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) tahun ini menampilkan kelainan dengan memberikan cabaran yang berbeza berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata kelainan itu dibawa bagi meningkatkan lagi kualiti hafazan para peserta.
"Untuk tahun ini hanya dibacakan potongan ayat sahaja dan peserta perlu menyambungnya dan meneruskan hafazannya. Ini untuk memastikan mereka benar-benar mencapai kualiti yang tinggi apabila dapat melepasi ataupun menjawab soalan-soalan dengan tepat," katanya.
Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokthar berharap orang ramai dapat hadir ke Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, di sini untuk memberikan sokongan kepada peserta.
"Harapan kita kepada rakyat Pahang untuk datang beramai ramai ke Auditorium Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Syah ini dapat datang beramai ramai dan memberikan semangat serta sokongan kepada peserta-peserta, bukan sahaja peserta dari Pahang kita ada lima hari bermula dari hari ini," katanya.