KINABATANGAN, 23 Mei - Seorang pekerja pemasangan kabel besi ditemukan lemas selepas bot yang dinaiki dihanyutkan arus deras di Sungai Ulu Segama, dekat sini, malam tadi.
Mayat lelaki berusia 51 tahun itu ditemukan oleh orang awam pada jarak 500 meter (m) dari sebuah ladang sekitar pukul 11. 00 malam.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima laporan melalui MERS999 pada pukul 12.05 tengah hari Selasa lalu membabitkan sebuah bot dinaiki tiga orang pekerja hanyut disebabkan arus sungai yang deras.
Dua daripadanya berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi hilang.
Operasi mencari dan penyelamat (SAR) kemudian digerakkan membabitkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Jasmani Osni.
Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.20 pagi tadi.