fb fb fb fb fb

MTHQK: Pahang jadi tuan rumah, 110 peserta terlibat

Majlis Pra-Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2024M (MTHQK) yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Utama Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang di Kuantan, Pahang/JAKIM

KUANTAN, 11 Mei- Negeri Pahang akan menjadi tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) tahun 1445 Hijrah bersamaan 2024 Masihi.

Dalam satu kenyataan, Menteri di  Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama Menteri Besar Pahang memaklumkan bahawa majlis akan berlangsung Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan, Pahang bermula 23 hingga 28 Mei 2024.

Kenyataan itu turut memaklumkan Perasmian MTHQK 2024 akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada 23 Mei 2024 (Khamis), pukul 9.00 malam.

Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah pula akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang pada 28 Mei 2024 (Selasa) jam 9.00 malam di lokasi yang sama.

MTHQK pada tahun ini melibatkan penyertaan seramai 110 peserta daripada seluruh negara dengan setiap negeri diwakili oleh lapan peserta iaitu dua peserta dalam kategori Tilawah Al-Quran manakala enam peserta dalam kategori Hafazan Al-Quran.

Hafazan pula bakal menyaksikan seramai 81 orang peserta, dengan para huffaz lelaki dan wanita akan bertanding dalam 3 kategori iaitu 10 juzuk, 20 juzuk dan juga 30 juzuk.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilantik sebagai pengerusi jemaah hakim dengan dibantu oleh 12 hakim bagi kategori tilawah dan juga 14 orang hakim bagi kategori hafazan.

Johan peserta Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan tahun ini akan mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang akan diadakan pada 5 hingga 12 Oktober 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan dan memeriahkan MTHQK 2024 di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan, Pahang bermula 23 hingga 28 Mei 2024, pukul 9.00 pagi hingga 11.00 malam.

Orang ramai juga boleh menyaksikan siaran langsung MTHQK di TV1, RTM, radio rasmi RTM dan boleh juga melalui sosial media rasmi JAKIM.

ROSLINA BINTI DIN