fb fb fb fb fb

TUDM tubuh pasukan teknikal nilai keupayaan F/A Hornet milik Kuwait

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan

IPOH, 11 Mei - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menubuhkan satu pasukan teknikal untuk dihantar ke Kuwait, Jun ini bagi menilai keupayaan pesawat tempur jenis F/A-18 Hornet negara tersebut.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata pasukan itu akan menganalisis beberapa aspek dan mencadangkan pilihan yang sesuai dengan keperluan TUDM sebelum proses perolehan dibuat.

"Kuwait mempunyai 39 pesawat jenis dua tempat duduk dan satu tempat duduk, jadi kita akan tentukan jumlah yang kita perlukan untuk tentukan samaada pesawat ini boleh melaksanakan tugas yang diperlukan.

"Sekiranya lawatan ini memberikan hasil yang positif dan pesawat ini boleh digunakan sehingga 2035, TUDM akan membuat keputusan untuk membelinya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara Siri 67/2023, di sini.

Ketika ini, terdapat lapan buah pesawat F/A 18D Hornet TUDM dalam inventori pertahanan negara.

Dalam pada itu, Mohd Asghar Khan turut memaklumkan, tiga buah pesawat Male-UAS ANKA akan diterima pada penghujung tahun 2025 dan dua buah pesawat Maritime Patrol Aircraft (MPA) akan diterima pada pertengahan tahun 2026.

Manakala empat pesawat FA-50M akan diterima pada penghujung tahun 2026 dan baki 14 lagi akan diperoleh secara berperingkat pada 2027.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN