KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Menguruskan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) kali ke-63 bukan tugas dan tanggungjawab yang mudah.
Menyelaras 72 orang peserta dari 51 buah negara dengan perbezaan bahasa pertuturan juga menjadi antara salah satu cabaran pasukan urusetia JAKIM sepanjang pertandingan tersebut berlangsung.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keurusetiaan dan Hubungan Luar, Masykuri Khamid, penterjemah perlu disediakan bagi memudahkan proses yang melibatkan perincian setiap peserta.
"Contoh macam bahasa Francis seorang, bahasa Urdu seorang, bahasa Rusia seorang, dia (penterjemah) akan berkongsilah dengan mana-mana peserta yang tidak memahami.
"Kalau untuk kursus bahasa Francis ni kita jemput seorang professor daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk membantu, mungkin kepakaran itu tidak ada pada kita, jadi kita meminjam daripada penterjemah luar," katanya.
Seramai sembilan juru bahasa atau penterjemah yang dilantik adalah dalam kalangan pegawai JAKIM sendiri yang mempunyai kemahiran bertutur dalam beberapa bahasa.
Tambah Masyukri, cabaran bagi urus setia juga adalah bagi memastikan para peserta dapat menyesuaikan diri dengan jarak waktu dan juga cuaca di negara ini.
Selain terlibat dengan MTHQA, para peserta juga akan dibawa melancong ke beberapa tempat menarik di sekitar ibu negara dan Putrajaya bagi mengenali budaya masyarakat di Malaysia.
MTHQA memasuki hari yang ke-empat menampilkan peserta orang kelainan upaya (OKU) dari Malaysia iaitu saudara Muhammad Qayyim Nizar Sarimi pada malam ini.