PUTRAJAYA, 23 Ogos - Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Iraq selama tiga hari bermula esok hingga Jumaat ini (25 Ogos).
Dr Zambry ke republik itu atas jemputan rakan sejawatannya Dr Fuad Hussein yang juga Timbalan Perdana Menteri Hal Ehwal Antarabangsa dan Menteri Luar Iraq.
Semasa lawatan itu, beliau dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas para pemimpin Iraq selain mengadakan pertemuan dua hala dengan Fuad.
"Ini bagi menyusul perbincangan yang berlangsung di luar Mesyuarat Biro Penyelarasan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) Peringkat Menteri Luar pada 5 Julai 2023.
"Pertemuan ini akan memberi peluang terbaik kepada Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah lama terjalin dengan Iraq, selain meneroka bidang kerjasama baharu yang mempunyai kepentingan bersama,” menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Rabu.
Pertemuan itu juga akan mengambil peluang di Baghdad untuk mengadakan sesi libat urus dengan komuniti perniagaan Iraq bagi meneroka potensi ekonomi antara kedua-dua negara.
Iraq dan Malaysia merupakan rakan dagangan keenam terbesar dan sumber import ketujuh terbesar dalam kalangan negara di Asia Barat.
Jumlah dagangan pada 2022 bernilai RM4.68 bilion (US$1.07 bilion), meningkat 24.3 peratus berbanding RM3.76 bilion (US$0.91 bilion) pada 2021.
Lawatan Zambry ke Iraq merupakan kunjungan rasmi pertamanya ke Iraq sejak memegang jawatan itu pada 2 Dis, 2022 dan akan diiringi pegawai kanan Wisma Putra serta delegasi perniagaan.