(Anwar Ibrahim (tengah) bersama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) dan Rafizi Ramli (kanan) pada
Taklimat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 di Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 22 Ogos- Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet esok bagi tujuan kelulusan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, MITI sedang memuktamadkan NIMP 2030 yang bakal meningkatkan kedudukan industri Malaysia dalam rantaian nilai global.
"Yang Berhormat (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah memberi input (idea) kepada pasukan bertugas untuk menyediakan NIMP 2030 yang Insya-Allah dilancarkan oleh beliau hujung bulan ini.
"Beliau juga telah melihat 'war room' kita, (dan) berjumpa dengan mereka yang bekerja keras selama enam bulan untuk menyiapkan NIMP 2030.
"(Jadi) kita tunggulah, esok (pelan) akan pergi ke kabinet untuk mendapat kelulusan daripada kabinet," katanya kepada media selepas Taklimat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah meninjau persiapan akhir NIMP 2030 di Menara MITI yang turut dihadiri oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.
NIMP 2030 bertujuan untuk mentransformasi sektor perindustrian untuk membantu Malaysia mencapai kepelbagaian ekonomi yang lebih tinggi, pendigitalan automasi secara agresif, matlamat karbon-sifar dan ekonomi yang lebih saksama dan inklusif.
(Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz)