fb fb fb fb fb

MRT2: Perjalanan penumpang hari bekerja meningkat 305 peratus

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 27 Jun - Purata perjalanan penumpang harian pada hari bekerja bagi Perkhidmatan Laluan Transit Aliran Massa Laluan Putrajaya (MRT2) meningkat sebanyak 305 peratus.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata peningkatan tersebut diperoleh hasil pemantauan yang dilakukan kementeriannya bagi penumpang fasa pertama yang merekodkan 23,000 perjalanan kepada 93,000 perjalanan bagi fasa kedua.

(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke / FOTO FAIL)

"Komitmen kerajaan untuk menggalakkan penggunaan MRT2 dibuktikan melalui usaha RAPIDKL untuk menyediakan perkhidmatan bas perantara di sekitar Putrajaya yang melibatkan lima laluan termasuklah laluan dari stesen MRT Putrajaya Sentral ke Presint 10, Presint 16, Presint 4, Presint 11 dan Ayer 8.

"Purata perjalanan penumpang harian (hari bekerja) yang direkodkan bagi lima laluan daripada bulan Mac 2023 sehingga 25 Jun 2023 adalah sejumlah 706 (perjalanan penumpang) dan dijangka akan terus meningkat berdasarkan trend penumpang pada masa kini," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Hisamudin Yahaya di Dewan Negara.

Dalam pada itu, Loke berkata pas perjalanan tanpa had MY50 bagi perkhidmatan rel dan bas juga akan diteruskan sebagai usaha menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Media Baharu