SEREMBAN, 26 Ogos- Malaysia Quran Hour (MQH) Peringkat Negeri Sembilan menyasarkan 1,000 penyertaan fizikal di lokasi utama penganjurannya di Masjid Kariah Paroi Jaya pada 30 Ogos ini.
Menurut penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim, tema surah yang dipilih pada tahun ini adalah surah Al–Sajdah yang bermaksud mengajak pemimpin dan rakyat melatih diri untuk bersujud, bersedekah dan bersabar .
Jelasnya, pemilihan surah itu yang mempunyai 30 ayat juga bersesuaian dengan sambutan Hari Kebangsaan yang bakal disambut pada 31 Ogos ini yang menuntut pengorbanan sifat kesombongan dan ketaasuban terhadap sesuatu perkara.
"Acara ini diadakan serentak mulai pukul 12.00 hingga 1.00 tengah hari di seluruh Malaysia.
Jadi di mana pun mereka berada kalau tak sempat nak ke premis, dalam kereta pun boleh, berhenti sekejap di tepi jalan untuk mengimarahkan, kebersamaan, mengalunkan, mengelombangkan ayat-ayat suci Allah," katanya selepas sesi temubual bersama NEGERIfm di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, di sini.
(Gharizah Hashim, Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan)
MQH peringkat Negeri Sembilan kali ke-8 itu diadakan secara fizikal selepas dua tahun ia berlangsung secara maya susulan pandemik COVID–19.