fb fb fb fb fb

MQA rai 23 graduan sesi kedua program CQA

Lulusan CQA 2023 gembira selepas menerima sijil masing-masing daripada MQA

PUTRAJAYA, 5 November- Seramai 23 pegawai dari institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan berjaya lulus program Certified Officer in Quality Assurance of Higher Education (CQA) 2023 daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pengerusi Majlis MQA, Tan Sri Mohd. Adib Abd. Rahman berkata, peningkatan penyertaan latihan itu pada tahun ini berbanding tahun lalu (19) menunjukkan modul itu berhasil memberi impak positif kepada tadbir urus jaminan kualiti di IPT yang terlibat.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) amat menyokong pengendalian modul latihan sedemikian selaras dengan fungsi yang dilaksanakan oleh MQA sebagai badan jaminan kualiti tunggal yang antara tanggungjawabnya adalah untuk mengawal selia program pendidikan tinggi ditawarkan oleh IPT di Malaysia.

Berdasarkan statistik, katanya, hampir 17,000 program telah berdaftar dalam Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) dan bilangan itu adalah refleksi terhadap tugasan jaminan kualiti yang dipertanggungjawabkan kepada MQA kerana pengakreditan berdasarkan program pengajian.

Beliau berkata, program CQA yang bersifat latihan berstruktur itu diyakini akan dapat melahirkan pegawai yang terlatih dan kompeten bagi melaksanakan tadbir urus jaminan kualiti dalaman di IPT.

"Urusan dan keperluan pematuhan standard akan diuruskan oleh pegawai yang bertauliah dengan sistematik dan seterusnya dapat membantu tugasan MQA melaksanakan jaminan kualiti luaran.

"Pemahaman kepada standard dan dasar jaminan kualiti akan memudahkan penghayatan dan penambahbaikan berterusan, selaras dengan amalan MQA sebagai pemudah cara kepada dasar dan standard jaminan kualiti.

"Kerjasama erat antara MQA, IPT dan semua pihak berkepentingan amat penting untuk menyokong ekosistem jaminan kualiti yang positif demi memperkasa kualiti pendidikan tinggi negara", katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi program CQA MQA, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari, Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa dan Pengarah Pusat Latihan Jaminan Kualiti Malaysia (MQATC), Norasikin Yahya.

Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, selaku penyedia latihan awam pertama yang menerima sijil SIRIM Learning Service Provider (LSP 29993:2017), MQATC akan melaksanakan penambahbaikan berterusan kepada program CQA supaya selari dengan keperluan jaminan kualiti terkini.

Beliau berkata penambahbaikan itu bersifat holistik dengan mengambil input daripada peserta dan keperluan jaminan kualiti terkini di peringkat antarabangsa akan dijadikan sumber utama dalam pindaan modul latihan ini.

"Menjelang tahun 2030, MQA menyasarkan peningkatan pegawai jaminan kualiti di IPT yang akan mengikuti program ini dengan anggaran 200 graduan CQA dapat dilahirkan.

"Barisan pegawai terlatih ini akan membantu penghayatan dan pelaksanaan standard jaminan kualiti pendidikan di IPT seterusnya menjadi wakil MQA dan pakar rujuk berkaitan jaminan kualiti di institusi masing-masing", katanya.

ROSLINA BINTI DIN