KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru agar Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melakukan anjakan besar, bukan hanya sekadar menjadi rujukan standard kelayakan kebangsaan.
Sebaliknya, berperanan lebih strategik sebagai pemacu inovasi, penjana bakat, pembina modal insan yang berdaya tahan.
"Saya mahu nama MQA disebut dengan penuh hormat di arena pendidikan tinggi dunia dan menjadi pemangkin kebolehpasaran graduan Malaysia.
"Lebih-lebih lagi, kini kita berada di tengah-tengah ledakan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan kemajuan pesat teknologi Kecerdasan Buatan (AI)," ujar beliau ketika berucap pada Majlis Anugerah MQA 2025, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.
Jelasnya, gelombang itu menuntut anjakan paradigma yang berani daripada semua pihak, termasuk MQA, bagi memastikan sistem jaminan kualiti bukan saja relevan, tetapi juga sentiasa melangkah satu langkah di hadapan.
"Perkembangan ini menuntut tindak balas yang pantas dan strategik daripada semua institutisi pendidikan. Kurikulum mesti sentiasa relevan, penyelidikan perlu berimpak tinggi dan graduan hendaklah dipersiapkan dengan kemahiran masa hadapan sama ada di aliran akademik, aliran lain ataupun program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut memuji pelbagai inisiatif seperti adaptasi kurikulum berorientasikan industri, pengenalan program baharu seperti Sains Data, Kejuruteraan Robotik, Keselamatan Siber dan Analitik Perniagaan, selain kerjasama strategik dengan syarikat teknologi global bagi membangunkan kurikulum ‘future-proof’.
Jelasnya, ekosistem keusahawanan dan inovasi juga berkembang pesat melalui pusat inovasi dan inkubator universiti, program bimbingan tekno usahawan di politeknik dan kolej komuniti, sehingga terhasilnya syarikat 'spin-off' yang mampu menarik pelaburan dan memacu ekonomi negara.
“Pencapaian ini turut diperkukuh dengan peningkatan program berakreditasi antarabangsa seperti Washington Accord bagi bidang kejuruteraan, serta pengiktirafan badan profesional global dalam perakaunan. Institusi pengajian tinggi (IPT) swasta pula cemerlang melalui fleksibiliti kurikulum, program niche dan kolaborasi strategik dengan industri,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu juga optimis bahawa gabungan kekuatan pendidikan awam dan swasta akan menjadikan Malaysia destinasi pilihan pelajar antarabangsa, bukan sahaja kerana kualiti akademiknya, malah kerana keberanian dan visinya membina pendidikan tinggi bertaraf dunia.
Mengulas berkenaan anugerah MQA 2025, beliau mahu anugerah berprestij itu bukan sekadar majlis penganugerahan, tetapi sebagai pemangkin persaingan sihat dan pembakar semangat untuk peningkatan kualiti secara berterusan di semua institusi, seterusnya menyumbang kepada kemajuan pendidikan tinggi negara.
Anugerah MQA 2025 adalah inisiatif julung kali agensi itu bagi mengiktiraf institusi dan individu yang mencapai kecemerlangan dalam kualiti akademik, inovasi serta tadbir urus.
Anugerah itu merangkumi semua sektor pendidikan tinggi termasuk universiti awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, kolej swasta serta institut latihan awam.
Kategori anugerah dirangka dengan teliti bagi memastikan setiap pencapaian yang diraikan membawa impak berterusan kepada pembangunan modal insan negara yang kompeten, holistik dan berdaya saing global.