SHAH ALAM, 11 Ogos- Persatuan Haulier Malaysia (AMH) menyuarakan kebimbangan terhadap penangguhan pembukaan Seksyen 3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Persimpangan SAE ke Persimpangan FHR 2 (Klang/Shah Alam) yang difahamkan berpunca daripada isu pengambilan tanah di Kampung Jawa.
Setiausaha Eksekutif AMH, Mohamad Azuan Masud berkata kelewatan itu menjejaskan operasi lebih 10,000 peralatan ahli persatuan yang kini bergantung pada laluan sedia ada yang sesak.
Situasi itu sekali gus meningkatkan masa perjalanan, kos bahan api, penyelenggaraan kenderaan dan menjejaskan jadual penghantaran.
"Seksyen berkenaan adalah laluan penting yang dijangka mampu mengurangkan kesesakan di Jalan-Jalan Persekutuan, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya NKVE dan Lebuhraya Shah Alam, terutama bagi pergerakan kenderaan perdagangan dari kawasan perindustrian ke Pelabuhan Klang," kata kenyataan itu.
Beliau menegaskan WCE adalah infrastruktur strategik untuk menyokong kelancaran sektor logistik di sepanjang pantai barat, terutamanya akses pantas ke dan dari Pelabuhan Klang.
Justeru, AMH menggesa pihak berkuasa termasuk Kementerian Kerja Raya (KKR), kerajaan negeri, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi menyelesaikan segera isu tanah supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual.
"Walaupun memahami proses pengambilan tanah adalah rumit, semua pihak perlu mencari penyelesaian segera demi kepentingan ekonomi negara," kata kenyataan itu.
AMH turut menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pemain industri bagi mengurangkan kesan kelewatan serta memastikan sektor logistik dan pengangkutan negara terus berdaya saing.