fb fb fb fb fb

Peruntukan RM1.3 bilion perkasa kontraktor G1-G4

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion bagi memperkasakan kontraktor G1 hingga G4 melalui pelaksanaan projek berskala kecil dan sederhana, termasuk pembinaan jalan raya, penyelenggaraan prasarana awam serta kerja pembaikan kemudahan asas.

Menurut Menteri Kewangan II yang juga Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, langkah tersebut selaras dengan usaha memastikan kontraktor tempatan kekal berdaya saing dalam ekosistem ekonomi negara yang semakin mencabar.

"Kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah. Antara inisiatif utama adalah meningkatkan had sebut harga bagi kerja penyelenggaraan serta pembaikan sekolah daif, klinik, jalan desa dan sebagainya daripada RM1 juta kepada RM3 juta, serta menaikkan had cabutan undi daripada RM100,000 kepada RM200,000.

"Langkah ini bertujuan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan serta meluaskan peluang penyertaan kontraktor kecil dalam projek kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-6 Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Pada majlis tersebut, Presiden PKBM, Datuk Dr. Azman Yusoff, mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan termasuk mekanisme variasi harga (VOP), penetapan margin 'cut-off' projek mega, pemantauan harga bahan binaan, tatakelola tender seragam, peruntukan kerja undi kepada kontraktor kecil, pengiktirafan kepada syarikat pembiayaan penghutang, serta penyelarasan subsidi diesel dan kadar SST empat peratus.

Majlis turut menyaksikan pelancaran PKBM BIM Satellite Centre, hasil kerjasama dengan CIDB E-Construct Services Sdn Bhd, yang diiktiraf sebagai pusat latihan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kualiti kerja pembinaan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM