fb fb fb fb fb

Pelan KAGUMN diluluskan untuk perkasa sumber makanan negara

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 25 April- Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) hari ini meluluskan satu dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa, iaitu Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN).

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan pelan induk itu merupakan antara tindakan intervensi bagi mengurangkan kebergantungan kepada produk makanan import, selain meningkatkan kemandirian negara dalam aspek bekalan makanan.

"Pelan induk ini telah mencadangkan sebanyak empat teras, 20 strategi, 48 tindakan dan 102 inisiatif untuk tujuan pelaksanaan oleh semua pihak berkepentingan, terutama pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan agensi di bawahnya, serta pihak berkuasa negeri," menurut kenyataan itu.

Mesyuarat MPFN ke-44 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya itu juga, mempertimbang enam kertas kerja melibatkan satu kertas untuk kelulusan, tiga kertas persetujuan dan dua kertas makluman.

Kenyataan KPKT memaklumkan cadangan strategi dalam pelan induk itu, untuk memastikan pengekalan dan pemeliharaan guna tanah kawasan sumber makanan negara, menekankan pengunaan teknologi moden dalam mempertingkatkan produktiviti, serta penyediaan insentif fiskal kepada kerajaan negeri bagi memastikan kawasan-kawasan sumber makanan dapat dipelihara.

Dalam mesyuarat itu, MPFN turut menimbang Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar, yang bertujuan memberi panduan dan rujukan kepada kerajaan, pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, pemaju hartanah dan pihak berkepentingan, yang ingin membangunkan semula kawasan penempatan yang terpinggir, usang dan tidak ekonomik untuk meningkatkan reka bentuk bandar.

Selain itu, kerajaan melalui KPKT juga sedang dalam proses menggubal rang undang-undang berkaitan pembaharuan semula bandar, yang akan memberi penekanan ke arah mewujudkan bandar baharu berdaya huni, serta memberi penetapan semula ambang persetujuan.

"Selain daripada aspek keterjaminan makanan, MPFN memberi perhatian isu kepesatan pembangunan yang mengakibatkan sebahagian penempatan di kawasan bandar terpinggir daripada arus pembangunan, terutamanya kawasan bangunan lama dan bangunan terbengkalai, serta kawasan brownfield dan greyfield yang memerlukan kepada inisiatif pembaharuan semula bandar," menurut kenyataan itu.

SITI AISHAH MD ISA