fb fb fb fb fb

MPD percepat penyediaan statistik kebangsaan tanpa libatkan data peribadi

Timbalan Ketua Pengarah Urusan MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin / Foto RTM

CYBERJAYA, 9 Jun – Inisiatif Data Telefon Bimbit (MPD) yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membuka lembaran baharu dalam penyediaan data statistik kebangsaan secara digital, pantas dan tanpa keperluan maklumat peribadi individu.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Urusan MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin, MPD merupakan sebahagian daripada projek global di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), dengan sokongan agensi antarabangsa termasuk International Telecommunication Union (ITU) dan Bank Dunia.

“MPD adalah sebahagian daripada transformasi digital negara. Ia membolehkan perancangan dasar dibuat secara lebih tepat melalui analitik data besar dan pada masa sama memastikan tiada komuniti tercicir dalam pelaksanaan dasar kerajaan,” katanya pada taklimat media berhubung inisiatif tersebut, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan penggunaan MPD mempercepatkan proses penyediaan statistik kebangsaan, yang sebelum ini bergantung kepada kajian lapangan secara bersemuka seperti bancian yang dijalankan setiap 10 tahun.

“Dengan MPD, kita boleh menggantikan soal selidik 30 soalan kepada hanya 10 kerana data yang diperlukan telah tersedia. Ini menjadikan proses pengumpulan data lebih efisien, kos efektif dan responsif,” jelas beliau.

Zurkarnain turut menegaskan data yang dikongsikan melalui MPD adalah sepenuhnya bersifat anonim dan telah diproses oleh penyedia perkhidmatan sebelum diserahkan kepada MCMC dan DOSM.

“Kita telah menetapkan supaya tiada data peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan atau alamat disertakan. Apa yang dikumpul hanyalah maklumat agregat daripada menara komunikasi, bukan lokasi individu,” tegas beliau.

Katanya lagi, penggunaan MPD merupakan satu lonjakan besar dalam kaedah pengumpulan data statistik negara, yang kini bergerak daripada pendekatan konvensional kepada pendekatan digital dan berasaskan analitik data besar.

“Ini bukan soal menjejaki individu, tetapi mempercepat keputusan dasar yang lebih tepat. Ia adalah langkah strategik negara ke arah transformasi digital,” ujarnya sambil memberi jaminan bahawa pelaksanaan penuh hanya akan dilakukan selepas fasa perintis selesai dan semua parameter teknikal dipastikan selamat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN