fb fb fb fb fb

KPT salur bantuan segera kepada waris, mangsa nahas di Gerik

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyantuni keluarga mangsa di HRPB, Ipoh - FB Zambry Abd Kadir

IPOH, 9 Jun - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menyalurkan bantuan segera kepada setiap waris dan mangsa nahas membabitkan sebuah bas persiaran membawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris, (UPSI) di Gerik, awal pagi tadi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, bantuan sebanyak RM2,000 disalurkan kepada waris mangsa yang terkorban, manakala RM1,000 kepada semua mangsa yang terlibat.

Beliau berkata, bantuan itu akan disalurkan melalui Yayasan Siswa bertujuan meringankan beban waris dan mangsa.

 

Bantuan segera RM2,000 dan RM1,000 akan disalurkan KPT kepada waris dan mangsa - FB Zambry Abd Kadir

"Di peringkat ini segala keperluan khususnya bagi menguruskan jenazah telah disediakan termasuklah penyediaan van jenazah untuk menghantar jenazah-jenazah ke destinasi masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek Dan Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.

 

KPT dan KKM akan memastikan kesemua mangsa dan keluarga mangsa dibantu segera - FB Zambry Abd Kadir

Datuk Seri Zambry berkata, pihak KPT turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan langkah-langkah segera dapat diberikan dalam membantu kesemua mangsa dan keluarga mereka.

Sementara itu beliau memaklumkan 13 jenazah telah tiba di Jabatan Forensik HRPB untuk proses bedah siasat, manakala dua lagi di Hospital Gerik.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK