KUALA LUMPUR, 18 September- Cabang digital Capital A Bhd, AirAsia Digital Sdn Bhd kini dijenamakan semula sebagai Move Digital Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A merangkap Pengerusi Eksekutif Move Tan Sri Tony Fernandes berkata, langkah itu menandakan peralihan penting bagi dua perniagaannya iaitu BigPay dan airasia Superapp.
Sejajar pengumuman itu, platform airasia SuperApp akan turut ditransformasi kepada 'airasia move' dalam tempoh terdekat.
Ia membolehkan pengguna menikmati akses lebih lancar berkaitan perjalanan dan perkhidmatan kewangan disepadukan daripada aplikasi BigPay.
"Penjenamaan ini memberikan komuniti airasia SuperApp sebuah perkhidmatan kewangan yang menawarkan pengalaman perjalanan lebih mudah.
"Jadi impiannya ialah menjadikan bayaran lebih murah selain menawarkan kadar pertukaran yang lebih baik ketika mengembara. Ia juga membolehkan pemindahan wang dalam satu aplikasi," katanya kepada pemberita selepas pengumuman mengenai Move Digital di ibu negara.
Tony turut menjelaskan airasia Superapp merekodkan pengguna aktif bulanan iaitu sebanyak 15 juta pengguna pada suku kedua 2023.
BigPay pula mencatatkan pertambahan pengguna kad sebanyak 16 peratus tahun ke tahun bagi tempoh sama.
(Tan Sri Tony Fernandes)