fb fb fb fb fb

Lelaki ditemukan tergantung di pondok perhentian bas

BINTULU, 18 September - Seorang lelaki ditemukan mati tergantung di perhentian bas Batu 7, berhampiran simpang Jepak, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Bartholomew Umpit, berkata mangsa berusia 30-an bukan warga tempatan itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sekitar 7.06 petang.

Katanya, identiti mangsa belum dapat diperolehi kerana tiada pengenalan diri dijumpai pada badan mangsa.

“Hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa juga tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah yang dikaitkan dengan kes ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook PDRM Bintulu.


Bartholomew berkata, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mana-mana pihak yang ada kehilangan ahli keluarga boleh tampil dan menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Ahmad Amir menerusi telefon bimbit 013-5653756 atau bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video durasi 42 saat di media sosial aplikasi X (Twitter) yang menunjukkan mangsa memakai baju berwarna putih dan seluar panjang berona hitam.

Media Baharu