fb fb fb fb fb

MoU G2G diperluas, pastikan ketulusan dalam perolehan aset pertahanan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Kementerian Pertahanan sedang memperluas kerjasama antara negara melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) berkaitan produk pertahanan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu bertujuan mengelakkan penglibatan ejen atau orang tengah dalam urusan perolehan aset pertahanan negara.

“Kerajaan MADANI kekal konsisten dalam usaha menambah baik tadbir urus dan memastikan ketelusan, termasuklah dalam urusan pembelian aset pertahanan negara,” katanya.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan peringatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar Kementerian Pertahanan tidak mengulangi kesilapan lepas dalam pembelian aset ketenteraan, khususnya pesawat terpakai yang boleh mengancam nyawa juruterbang dan anggota tentera.

Semasa Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-60 di Kem Iskandar Mersing, Johor, Sultan Ibrahim menegaskan semua pihak yang terlibat dalam perolehan aset ketenteraan perlu memastikan penilaian dibuat secara telus mengikut harga pasaran serta keperluan sebenar tentera, bukan semata-mata mendengar cadangan ejen atau pihak berkepentingan.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan menjunjung titah Seri Paduka Baginda itu dan komited untuk sentiasa menjunjung prinsip akauntabiliti dan integriti dalam aspek perolehan aset-aset pertahanan negara.

Beliau berkata langkah segera yang telah dan sedang diambil adalah pengukuhan dasar dan prosedur dalaman kementerian bagi memastikan ketelusan, pematuhan etika dan garis panduan yang ketat.

Selain itu, sebarang cadangan baharu akan dilaksanakan kajian yang menyeluruh melibatkan pengguna akhir iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuklah aspek kesesuaian, jangka hayat, keselamatan serta teknologi yang digunakan.-BERNAMA

JALALUDDIN BIN BAHARIN