IPOH, 16 Ogos - Pembangunan negara tidak boleh lagi berasaskan fizikal semata-mata, sebaliknya mesti berteraskan kesejahteraan rakyat dan budaya tempatan, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, projek pembangunan seperti Ipoh Sentral seharusnya menjadi model baharu yang menggabungkan kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan, bukannya meniru reka bentuk luar yang tidak sesuai dengan realiti masyarakat Malaysia.
“Kita tidak boleh lagi pertahankan konsep pembangunan yang hanya mendirikan gedung besar atau projek mega tanpa manfaat kepada rakyat, selain sekadar menjadi tempat ziarah sekali-sekala. Pembangunan baharu perlu benar-benar memberi nilai tambah kepada masyarakat,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan setiap projek mega perlu disusun dengan teliti. Ini termasuk penyediaan kemudahan asas seperti perumahan, rumah ibadat, sekolah dan taman awam agar tiada pihak terpinggir.
Beliau menambah, pendekatan inklusif ini penting dalam membina bandar yang seimbang dari segi sosial, ekonomi dan budaya, selaras dengan konsep Malaysia MADANI.