KUCHING, 31 Oktober - Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) terbuka bekerjasama dengan pihak berkuasa penerbangan antarabangsa, institusi penyelidikan dan rakan kongsi industri untuk meneroka masa depan mobiliti pintar dan lestari.
Menterinya, Dato Sri Lee Kim Shin dalam satu kenyataan berkata, Sarawak berada di peringkat penting dalam mentransformasi sektor penerbangannya untuk beralih daripada ketersambungan serantau ke arah rangka kerja antarabangsa.
“Melalui inovasi dan kerjasama, kami berhasrat untuk menghubungkan Sarawak dengan rangkaian penerbangan serantau dan global, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat kami sambil meletakkan Sarawak di peta penerbangan global,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Dato Sri Lee berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama ‘Meningkatkan Ketersambungan Global dan Merangkul Inovasi Untuk Penerbangan’ pada Forum Penerbangan Awam Antarabangsa 2025 di China.
Forum berkenaan diadakan di Universiti Shanghai Jiao Tong bawah anjuran Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) dengan kerjasama Universiti Shanghai Jiao Tong dan Perbadanan Pesawat Komersial China (COMAC).
Forum berkenaan dihadiri lebih 300 perwakilan dari pelbagai negara dan wilayah dalam sektor penerbangan awam dunia.
Majlis perasmian telah disempurnakan ole Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC) ke-14, Liu Fang yang juga merupakan bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Forum tersebut memberi tumpuan kepada hala tuju pembangunan masa depan industri penerbangan awam global bawah trend ketersambungan dan transformasi pintar.
