LANGKAWI, 31 Oktober - Sepanjang dua tahun lalu Langkawi menerima seramai 33,000 pelancong dari Poland menerusi penerbangan sewa khas dari Warsaw, Poland.
Pengurus Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr Azmil Munif Mohd Bukhari, berkata angka itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya kira-kira 5,000 pelancong dari negara itu direkodkan pada 2023.
Beliau berkata, musim ketiga kerjasama antara LADA, agensi pelancongan Poland, ITAKA dan Tourism Malaysia bermula hari ini hingga Mac depan, dijangka membawa hampir 6,000 lagi pelancong negara itu ke Langkawi.
Azmil Munif berkata, LADA sentiasa komited menjalin kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan antarabangsa menerusi tawaran pelbagai insentif bagi menggalakkan penerbangan sewa khas ke pulau itu.
"Sejak siri pertama diadakan kita membuat beberapa siri fam trip daripada syarikat-syarikat Poland dan yang terbaharu kita mendapat berita bahawa tahun depan berkemungkinan mereka akan meneruskan bukan saja meneruskan penerbangan ini tetapi membawa masuk laluan baharu daripada Republik Czech ke Langkawi", katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima penerbangan pertama sewa khas dari Poland di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Promosi Antarabangsa (Amerika, Eropah & Oceania) Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia.
Penerbangan pertama hari ini membawa 275 pelancong Poland menggunakan penerbangan sewa khas LOT Polish.