PUTRAJAYA, 31 Oktober - Kerajaan sedang meneliti cadangan menetapkan penggunaan pengesahan identiti pengguna atau 'electronic Know Your Customer' (eKYC) bagi aplikasi temu janji dalam talian OMI.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata, langkah itu bagi memperkukuh keselamatan pengguna, khususnya bagi golongan kanak-kanak.
Beliau kesal dengan kejadian seorang kanak-kanak berusia12 tahun dilaporkan menjadi mangsa rogol selepas berkenalan dengan seorang dewasa melalui aplikasi OMI.
"OMI ini adalah aplikasi yang sedikit berbeza. Saya sendiri tidak pernah menggunakannya, tetapi difahamkan ia disalah guna oleh seorang kanak-kanak untuk berkenalan dengan orang dewasa, dan akibat pertemuan itu dia menjadi mangsa. Saya sangat kesal dengan kejadian tersebut. Ia tidak sepatutnya berlaku."
"Justeru itu, kita akan mempertimbangkan untuk mengguna pakai eKYC yang menggunakan dokumen diterbitkan oleh pihak kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigitalID bagi pengesahan umur dan identiti," katanya lagi.
Datuk Fahmi berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, hari ini.
