fb fb fb fb fb

Motosikal terbabas, lelaki maut di LPT2

(Foto Fail)

DUNGUN, 8 Oktober- Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabit dalam satu kemalangan di Dungun, Terengganu, petang semalam.
 
Kemalangan berlaku di Kilometer 372.1 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dekat Kawasan Rehat dan Rawat, Bukit Besi, Dungun.
 
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi telah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
 
Menurut Maizura, penunggang motosikal yang maut dikenali sebagai Mohamad Rizuwan Mat Nawi berusia 41 tahun dari Felda Kerteh 6, Bandar Ketengah Jaya.
 
"Sebelum kejadian, mangsa yang juga seorang pekebun dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke rumahnya.
 
"Motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan secara tiba-tiba lalu terbabas dan terseret sejauh kira-kira 50 meter.
 
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.
 
"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.
 
"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," kata Maizura.


(Foto Fail)

Media Baharu