fb fb fb fb fb

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut terbabas di LPT2

(Motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang mangsa)

DUNGUN, 8 Oktober- Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas kenderaan ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di sini, semalam.
 
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 4.30 petang di Kilometer 372.1 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) dekat kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Bukit Besi, Terengganu.
 
Ketua Polis Daerah, Superintendan Maizura Abdul Kadir mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.
 
Mangsa dikenali sebagai Mohamad Rizuwan Mat Nawi, 41, dari Felda Kerteh 6, Bandar Ketengah Jaya.

Dilaporkan, sebelum kejadian mangsa yang juga seorang pekebun sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke rumahnya.
 
Sejurus tiba di satu laluan lurus, motosikal yang ditunggang mangsa di lorong sebelah kanan lebuh raya dipercayai hilang kawalan secara tiba-tiba lalu terbabas dan terseret sejauh kira-kira 50 meter.
 
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan akibat cedera parah pada beberapa bahagian anggota badan.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.
 
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

(Mangsa kemalangan maut, Mohamad Rizuwan Mat Nawi, 41, di LPT2 semalam)

Media Baharu