fb fb fb fb fb

MOTAC sasar pendapatan pelancongan RM11.1 bilion rangka pemulihan pelancongan

KUALA LUMPUR, 21 Jun- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, (MOTAC) menyasarkan pendapatan pelancongan RM11.1 bilion tahun ini dengan ketibaan 4.5 juta pelancong menerusi pelaksanaan Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan (TRF) 2.0.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, sasaran baharu itu didorong faktor pembukaan semula aktiviti pelancongan, peningkatan kadar vaksinasi dan pembukaan sempadan negara.

"Sasaran yang telah disemak semula itu berdasarkan petunjuk positif kemasukan pelancong asing membabitkan ketibaan pelancong asing sejumlah 2.3 juta orang untuk tiga bulan.

“Ini melepasi sasaran kami, pada mulanya kami menyasarkan dua juta hingga hujung tahun tetapi kini belum hujung tahun kami sudahpun mencapai sasaran tersebut.

“Mungkin hingga September kami boleh lihat lebih lagi, kami akan terus melakukan semakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas sesi dialog pelancongan MOTAC dan Majlis Pelancaran TRF 2.0 di sini.

(Nancy pada Majlis Pelancaran TRF 2.0)

MOTAC sebelum ini menyasarkan kemasukan kira-kira dua juta pelancong dari luar negara tahun ini dengan keuntungan melebihi RM6.8 bilion.

Sementara itu, memetik laporan Bernama beliau berkata setakat bulan lepas pihaknya telah menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM23.8 juta kepada 15,000 pengusaha pelancongan, selain RM4.73 juta nilai baucar ditebus bagi pembelian produk kraf, seni visual dan buku serta RM2.35 juta nilai baucar pula ditawarkan bagi pakej pelancongan dan pengangkutan darat.

Bagi geran padanan untuk pembaikan inap desa dan hotel bajet pula, sebanyak 342 permohonan bernilai RM1.64 juta diluluskan bagi inap desa dan 43 permohonan bernilai RM886,000 diluluskan bagi hotel bajet sehingga 15 Jun, katanya.

Media Baharu