fb fb fb fb fb

Kenderaan berat lebih 7.5 tan dilarang masuk pusat bandar ketika waktu puncak

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 21 Jun - Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melarang kenderaan berat melebihi 7.5 tan memasuki pusat bandar pada waktu puncak, berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata langkah itu diputuskan jawatankuasa khas bagi mencari jalan penyelesaian berkaitan kaedah dan tindakan penyuraian kesesakan lalu lintas di ibu negara.

Katanya, kenderaan berat yang dikesan masuk ke ibu kota pada waktu puncak akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

(Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias)

"Kami mendapati kemasukan kenderaan berat tanpa mengira waktu menjadi antara punca yang menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di ibu negara.

"Oleh itu, sekiranya mereka melanggar peraturan ini, mereka akan dikenakan tindakan kompaun secara mandatori dan kami berpendirian tegas untuk tidak akan melayan sebarang rayuan yang dikemukakan kelak," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa khas itu, di sini.

Tambah Jalaluddin, DBKL juga akan meletakkan paparan maklumat boleh ubah (VMS) larangan kenderaan berat di lokasi berhampiran sempadan penyediaan kawasan parkir sebelum masuk ke ibu negara.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata jawatankuasa khas itu turut memutuskan untuk melarang kenderaan parkir di bahu jalan semasa waktu puncak dan membatalkan petak parkir secara berperingkat di jalan utama.

"Kami juga melarang penjaja berniaga di bahu jalan semasa waktu puncak dan membatalkan petak penjaja secara berperingkat terutama di bahu jalan di jalan utama," katanya.

Media Baharu