fb fb fb fb fb

Balai Seni Negara kini dibuka semula selepas dua tahun ditutup

(Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri merasmikan
pembukaan semula Galeri Balai Seni Negara)


KUALA LUMPUR, 21 Jun- Balai Seni Negara, galeri ikonik tarikan pelancongan negara kini dibuka semula bermula hari ini selepas ditutup dua tahun bagi memberi laluan untuk kerja-kerja naik taraf dan pengubahsuaian sejak Ogos 2020. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata projek naik taraf dan pengubahsuaian dengan peruntukan sebanyak RM4 juta yang disalurkan kementeriannya itu siap sepenuhnya Mac lepas. 

Beliau berkata projek menaik taraf melibatkan ruang galeri dan bumbung utama yang berkonsepkan 'Gajah Menyusu' masih dikekalkan identitinya bagi memperkasakan tekad dalam memartabatkan seni tradisi di dalam konteks kontemporari. 

"Sempena pembukaan semula galeri, Balai Seni Negara membawakan Pameran 'NUSA' iaitu pameran Koleksi Tetap Seni Visual Negara. Pameran ini melibatkan lima buah galeri iaitu Galeri Reka, Tun Razak, 2A, 2B dan 3B.

"Sebanyak 466 karya dipamerkan yang mengetengahkan naratif sejarah dan mitos, persoalan dan pencarian hal identiti, idea dan cadangan yang terhasil seterusnya membawa kepada pembentukan representasi Tenggara yang ingin diketengahkan dalam pameran ini melalui Koleksi Negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan semula Galeri Balai Seni Negara, di sini. 

Nancy berkata Pameran ‘NUSA’ itu akan berlangsung selama tiga tahun dan pasukan kuratorial Balai Seni Negara telah bersedia dengan penggiliran karya di ruang pameran bagi meningkatkan jumlah capaian karya koleksi kepada khalayak.

(Sempena pembukaan semula galeri, Balai Seni Negara membawakan Pameran 'NUSA' iaitu
pameran Koleksi Tetap Seni Visual Negara. Pameran ini melibatkan
lima buah galeri iaitu Galeri Reka, Tun Razak, 2A, 2B dan 3B)


Berkongsi mengenai majlis pembukaan itu, menteri itu berkata sambutan diterima daripada pengunjung tempatan diluar jangkaan, sekali gus optimis sambutan pelancong luar juga akan meningkat dengan adanya promosi dalam talian.

Majlis perasmian itu turut menyaksikan pengumuman dan penyerahan 11 anugerah Bakat Muda Sezaman 2021 (BMS21) yang bertemakan 'Seni di Lokasi' dan lima Anugerah Penghargaan kepada penggiat seni tempatan.

Menyentuh mengenai perancangan kementerian dalam memperkasakan sektor pelancongan, Nancy menggalakkan lebih ramai penggiat seni tempatan khususnya pembina arca supaya menonjolkan karya seni mereka di lokasi-lokasi tumpuan umum.

Melalui kerjasama dan kolaborasi pelbagai pihak, pendekatan itu dilihat mampu mewujudkan lebih banyak lokasi dengan nilai-nilai estetika tersendiri, sekali gus menjadi ikon lokasi dan tumpuan baharu pelancong untuk bergambar, katanya. -BERNAMA 

Media Baharu