fb fb fb fb fb

MOTAC sambut baik inisiatif pendigitalan penggiat industri pelancongan

KUALA LUMPUR, 9 Mac- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyaran dan mengalu-alukan sebarang inisiatif pendigitalan oleh penggiat-penggiat industri yang boleh memberi nilai tambah kepada industri pelancongan negara.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata saranan itu selaras dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030.

Jelasnya, kecanggihan teknologi seperti data raya dan kepintaran buatan akan mengubah ekonomi global melalui keupayaannya mempercepat inovasi, meningkatkan semula pertumbuhan produktiviti dan mewujudkan lebih banyak permintaan berdaya tinggi.

Terdapat cabaran-cabaran yang harus ditangani oleh penggiat industri pelancongan apabila kaedah perniagaan konvensional mereka tidak dapat menampung permintaan semasa pasaran.

"Justeru, pentingnya untuk mengubah cara berniaga ke arah mesra teknologi dan mengurangkan interaksi bersemuka seperti sistem pembayaran tanpa tunai, teknologi tanpa sentuh, daftar masuk kendiri serta pemasaran dalam talian," kata Khairul di Parlimen menjawab pertanyaan wakil Jasin, Zulkifli Ismail.


(Foto Hiasan)

Tambahnya, MOTAC sebelum ini telah menambah baik pelan pemulihan sedia ada dengan membangunkan Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan 2.0 (TRF 2.0).

Menerusi Tonggak 5 di bawah TRF 2.0 itu, MOTAC menumpukan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan adaptasi, kemahiran dan penggunaan teknologi digital dalam industri pelancongan.

Media Baharu