fb fb fb fb fb

MOTAC perkukuh promosi Urutan Malaysia ke peringkat antarabangsa

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Chua Choon Hwa (tiga, kanan) ketika merasmikan Konvensyen Spa, Kesejahteraan dan Penjagaan Asia di World Trade Centre Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus menyokong dan mempromosikan Urutan Malaysia sebagai identiti kebangsaan dalam arena pelancongan global.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Chua Choon Hwa berkata sehingga kini MOTAC telah melaksanakan tujuh sesi latihan Urutan Malaysia melibatkan 74 peserta dari seluruh negara.

“Inisiatif ini turut diperkukuh melalui pelancaran Pakej Pelancongan Kesejahteraan Malaysia 2025–2026, yang menampilkan 36 pakej eksklusif dibangunkan oleh 11 penggiat industri, dengan pelbagai pengalaman kesejahteraan yang autentik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Konvensyen Spa, Kesejahteraan dan Penjagaan Asia di World Trade Centre Kuala Lumpur, di sini hari ini.

2207 CHUA ASEAN SPA 2Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Chua Choon Hwa

Menurut Chua, MOTAC turut menyertai delegasi rasmi ke Jepun baru-baru ini untuk mempromosikan program latihan khas Urutan Malaysia kepada ahli terapi spa Jepun yang berminat mempelajari teknik urutan unik berasaskan tradisi Malaysia.

“Usaha ini membuka peluang besar menempatkan Urutan Malaysia di pentas antarabangsa, di samping memperkukuh standard terapi, kemahiran pengamal dan amalan terbaik dalam industri spa dan kesejahteraan negara,” ujarnya.

Urutan Malaysia merupakan gabungan teknik tradisional Melayu, Qigong dari budaya Cina, urutan kepala India, refleksologi, serta amalan penyembuhan pribumi Sabah dan Sarawak.

Ia bukan sekadar teknik urutan, tetapi simbol keharmonian budaya dan bentuk perpaduan nasional.

Dalam pada itu, beliau turut memetik laporan Persidangan Antarabangsa Perlombongan dan Sumber (IMARC) yang menjangkakan industri kesihatan dan kesejahteraan di Malaysia mencapai nilai AS$11.42 bilion pada 2024, dan dijangka terus berkembang pada kadar CAGR antara 4% hingga 6%, dengan unjuran pendapatan AS$22.1 bilion menjelang 2033.

“Ini menunjukkan prospek pertumbuhan yang memberangsangkan serta potensi besar industri ini dalam menyumbang kepada peningkatan hasil pelancongan dan pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN