fb fb fb fb fb

JKNPP rampas produk tradisional bercampur racun bernilai RM5.2 juta

FOTO JKNPP

GEORGE TOWN, 22 Julai – Sebanyak 71,000 botol produk tradisional dan 500 bungkusan bahan mentah disyaki mengandungi racun berjadual dirampas Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam satu operasi khas baru-baru ini.

Pengarah JKNPP, Datuk Dr. Fazilah Shaik Allaudin dalam satu kenyataan memaklumkan, rampasan yang turut melibatkan dua unit mesin itu dianggarkan bernilai RM5.2 juta.

Operasi yang dijalankan pada 15 Julai lalu melibatkan serbuan ke atas enam premis sekitar Kepala Batas, Pulau Pinang.

Tindakan itu mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan mengandungi campuran racun.

Operasi berkenaan turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Pulau Pinang.

Kes disiasat mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menyemak status pendaftaran ubat atau notifikasi kosmetik melalui laman sesawang rasmi www.npra.gov.my bagi mengelakkan pembelian produk meragukan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE