(Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC))
KUALA LUMPUR, 24 September - Kerajaan Negeri Sabah, MOTAC Sabah dan agensi berkaitan diminta mengambil tindakan serius dan sewajarnya berkaitan dakwaan pelancong asing, bahawa sebuah inap desa yang didiaminya di Sabah telah dipasang dengan kamera tersembunyi.
Dakwaan itu didedahkan di sebuah platform media sosial Xiaohongshu, yang berpangkalan di Shanghai pada 14 September lepas dan kemudiannya diulang siar portal berita tempatan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing menerusi kenyataannya di Facebook berkata, hukuman tegas dan setimpal wajar dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terbukti bersalah.
"Kerana perbuatan terkutuk seperti ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang, tetapi juga menjejaskan imej industri pelancongan negara.
"Saya mengingatkan kepada semua pengusaha homestay atau pemilik yang berdaftar di bawah MOTAC dan memperolehi penggredan daripada MOTAC, sekiranya didapati melanggar undang-undang dan disabit bersalah, MOTAC akan ambil tindakan tegas seperti membatalkan pendaftaran dan menarik balik penggredan mereka,” kata Tiong.
Tiong turut mengingatkan kepada semua pengusaha inap desa atau pemilik yang berdaftar bawah Airbnb, supaya mengambil perhatian serius terhadap disiplin serta memeriksa latar belakang pekerja masing-masing.
"Tidak dinafikan perkara seperti ini mungkin terjadi disebabkan perbuatan peribadi, yang dilakukan oleh para pekerja inap desa atau Airbnb yang tidak bertanggungjawab. MOTAC tidak akan berkompromi terhadap kejadian seperti ini dan akan terus membuat pemantuan dari semasa ke semasa,” katanya.
(FOTO HIASAN/BERNAMA)