ALOR SETAR, 24 September- Fun Race RC Power Boat berpotensi untuk menjadi daya tarikan terbaru sektor pelancongan khususnya di Alor Setar.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Salleh Saidin berkata acara tersebut kini semakin mendapat tempat di hati peminat tempatan.
Tambahnya, acara tersebut boleh diadakan di banyak lokasi di negeri berkenaan.
Antaranya, Sungai Anak Bukit yang kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan panorama indah di sepanjang sungai tersebut.
“Saya berharap supaya acara ini dapat diteruskan agar menjadi tarikan pelancong ke Alor Setar.
Di samping itu, peranan masyarakat penting dalam menjaga kebersihan sungai kita agar senantiasa terpelihara dan ceria," kata Salleh ketika berucap merasmikan acara Fun Race RC Power Boat 2023 di Persisiran Sungai Anak Bukit di sini.
Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff berkenan berangkat menyaksikan acara tersebut.
Tunku Mahkota Kedah dan Tunku Puan Mahkota Kedah turut perkenan menyaksikan aksi bebas bot dan pesawat ringan kawalan jauh sebagai simbolik gimik pelancaran acara tersebut.
Tuanku berdua seterusnya perkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang sebelum berangkat pulang.
(Foto FB Kedah Royal Family)