KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memperketat pemantauan serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap penganjuran program bawah seliaan kementerian itu.
MOTAC menerusi kenyataan, menyatakan rasa kesal atas sebarang kekeliruan atau salah faham yang timbul sehingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.
Perkara itu susulan teguran daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung satu majlis makan malam yang tular baru-baru ini.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa pihaknya mengambil iktibar daripada insiden berkenaan dan akan memastikan perkara serupa tidak berulang.
"MOTAC juga akan memastikan setiap pelaksanaan program di bawah seliaannya mematuhi garis panduan dan etika yang telah ditetapkan," menurut kenyataan itu.
Kementerian tersebut turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas nasihat, teguran membina serta sokongan berterusan terhadap usaha memperkasa industri pelancongan, seni dan budaya negara.
MOTAC akan terus memperkukuh pelaksanaan tanggungjawab kementerian itu kepada rakyat serta negara dengan memastikan penambahbaikan berterusan dilakukan.