fb fb fb fb fb

57 kes kebakaran struktur bangunan, kenderaan diselesaikan JBPM Perlis

Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis

KANGAR, 7 Oktober - Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis berjaya menyelesaikan sebanyak 57 kes berkaitan kebakaran struktur bangunan dan kenderaan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah JBPM Perlis, Penguasa Kanan Bomba 1, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin dalam kenyataannya memaklumkan, agensi itu sentiasa berada di barisan hadapan dalam menjalankan siasatan terperinci bagi setiap insiden yang berlaku.

"52 kes melibatkan struktur bangunan merangkumi rumah kediaman, premis perniagaan dan bangunan awam, manakala lima kes melibatkan kenderaan termasuk kereta persendirian dan kenderaan komersial.

"Angka ini mencerminkan cabaran yang besar bagi JBPM Negeri Perlis khususnya Bahagian Penyiasatan Kebakaran, memandangkan setiap kes memerlukan siasatan rapi untuk mengenal pasti punca sebenar serta menilai tahap risiko kebakaran yang wujud di Perlis," menurut kenyataan itu.

Statistik suku tahun pertama memperlihatkan bahawa litar pintas dan peralatan gas masih menjadi ancaman utama di Negeri Perlis melibatkan kes kebakaran struktur bangunan.

Dalam pada itu masyarakat perlu lebih proaktif dalam memastikan keselamatan kediaman masing-masing dengan memeriksa pendawaian elektrik secara berkala; menggunakan peralatan elektrik dan gas yang berkualiti serta selamat dan mengutamakan aspek keselamatan semasa musim perayaan.

JBPM Negeri Perlis melalui Bahagian Penyiasatan Kebakaran akan terus komited untuk mempertahankan keselamatan awam, memelihara harta benda, serta mendidik masyarakat agar lebih peka terhadap bahaya kebakaran.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI