GUA MUSANG, 7 Oktober - Masyarakat Orang Asli di Kelantan berharap kerajaan akan terus menumpukan usaha meningkatkan pembangunan asas di pos penempatan pedalaman melalui Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
Tinjauan RTM mendapati, penduduk berharap kerajaan menambah baik pembangunan infrastruktur termasuk jalan perhubungan dan kemudahan pencahayaan ke kampung mereka.
Menurut penduduk, kemudahan lampu solar adalah keperluan penting di pedalaman untuk menerangi kawasan persekitaran rumah serta mengelakkan kemunculan haiwan liar yang sering merosakkan tanaman pada waktu malam.
“Memang lampu tiada di sini. Dari dulu hingga sekarang tak ada lampu. Kami masih guna lilin dan unggun api. Harap kerajaan dapat membantu kami", kata penduduk Pos Belatim, Norizam Busu.
"Saya memerlukan solar untuk kampung kami di Kampung Sempadik. Sekarang ini banyak binatang liar, kami hendak rumah yang lebih terang. Kalau tidak, sukar untuk pergi ke mana-mana. Sepanjang jalan perlu sediakan banyak lampu di sepanjang laluan 20 kilometer dari Kampung Cenroq ke Sempadik", ujar Penghulu Kampung Sempadik, Pos Belatim, Hussin Dollah.
"Paling utama, penduduk di pedalaman harap dapat kemudahan jalan paling. Kerajaan perlu percepatkan. Harap kerajaan percepat di kawasan Pos Balar dan pos lain seperti Belatim, Bihai dan Pos Balar. Orang kampung mengharapkan jalan untuk masuk dan keluar, boleh guna untuk kenderaan kecil", kata Penghulu Kampung Perawas, Pos Balar, Osman Anjang.
Sebelum ini, nasib masyarakat orang asli diberi perhatian dalam Belanjawan 2025, apabika Kerajaan MADANI meningkatkan peruntukan hampir RM380 juta berbanding RM330 juta pada tahun sebelumnya.